Rahsia Solat
Dosa Boleh Halang Cahaya Ilmu
Banyak melakukan dosa membuatkan hati seseorang itu rosak kerana bercampur
antara baik dan buruk. Maka jadilah hati seperti yang disabdakan oleh Nabi
Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
"(Hati yang) tidak lagi menganggap baik perkara yang baik dan tidak
menganggap buruk perkara yang buruk, melainkan apa yang disukai oleh hawa
nafsunya".
Orang yang banyak melakukan dosa semakin renggang hubungannya dengan Allah dan
orang mukmin lain. Ini kerana apabila seseorang itu patuh kepada perintah Allah,
ia dekat kepadaNya.
Orang yang sentiasa melakukan dosa selalu memandang perbuatan dosa itu sebagai
perkara kecil. Dalam hal ini, Ibnu Masud berkata:
"Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosanya seperti sebuah bukit yang
dibimbangi akan menimpanya. Manakala, seorang yang selalu melakukan dosa akan
memandang dosa itu seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya".
Dosa yang dilakukan itu akan membawa kehinaan, manakala ketaatan pula dapat
melahirkan kemuliaan kepada pelakunya. Dalam hal ini Allah berfirman yang
maksudnya:
"Sesiapa inginkan kemuliaan, maka sesungguhnya segala kemuliaan itu
kepunyaan Allah jua".
Orang yang melakukan dosa berasa sempit dadanya, manakala mereka yang taat
lapang dadanya. Allah berfirman yang bermaksud:
"Maka sesiapa yang Allah hendak beri hidayat nescaya Allah memberi
kelapangan dadanya untuk menerima (ajaran) Islam. Sesiapa yang Allah hendak
menyesatkan nescaya Allah sempitkan dadanya dan dalam kesukaran seolah-olah ia
memanjat langit (kerana tidak cukup oksigen)".
Dosa boleh menggelapkan hati sebagaimana amalan kebajikan itu boleh menyinarinya.
Ibnu Abbas berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati,
kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala
kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh,
sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya".
Dosa boleh menghalang seseorang itu daripada mendapat cahaya ilmu. Satu ketika,
Imam Malik terpegun melihat Imam Syafie (masih remaja ketika itu) kerana
kepandaian dan kecerdikannya, lantas beliau berkata:
"Sesungguhnya aku melihat Allah mencampakkan ke dalam hati kamu cahaya,
maka jangan kamu padamkan cahaya iu dengan kegelapan maksiat".
Dosa boleh menyebabkan seseorang itu malas untuk membuat ketaatan. Seseorang
pernah berkata kepada Ibnu Masud: "Kami tidak mampu untuk bangun malam (untuk
beribadat)". Jawab Ibnu Masud: "Dosa kamu menjauhkan kamu (daripada
ibadat di waktu malam)".
Oleh yang demikian, hampirilah kebajikan yang akan memberi cahaya kepada hati
dan jauhilah kejahatan yang boleh menggelapkan hati seterusnya menghalang cahaya
ilmu.
(Dipetik dari buku Bimbingan Semasa oleh Mohd Fauzi Mustaffa Al-Besuty.)